Tuesday, June 8, 2010

Pengurusan Koperasi Al-Hilal Tutup Mulut


KOTA BHARU 7 Jun - Pihak pengurusan Koperasi Al- Hilal Berhad (Kohilal) mengambil sikap 'menutup mulut' berhubung dakwaan skandal melibatkan pelaburan ahli-ahli Pas sebanyak RM45 juta.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Md. Shukor Aziz ketika dihubungi bagaimanapun mengakui koperasi berkenaan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sehubungan itu, Setiausaha Kohilal itu meminta mana-mana pihak yang mahu mengetahui berkenaan isu berkenaan agar berhubung terus dengan SKM.

"Sebenarnya isu ini sudah lama dan sedang disiasat oleh SKM. Jadi biarlah kerajaan yang tentukan apa keputusan seterusnya, saya tidak boleh kata apa-apa. Anda berhubung terus dengan SKM," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini bagi mendapatkan penjelasan.

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) semalam mendesak agar Pas tampil mendedahkan ke mana wang berjumlah RM45 juta itu dilaburkan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, banyak dakwaan timbul mengenai kewujudan skandal penyelewengan menyebabkan koperasi itu hanya mampu membayar dividen yang terlalu sedikit kepada ahlinya dan kali terakhir pada 1997.

Ibrahim turut mendedahkan beberapa dokumen menyatakan bahawa Kohilal yang ditubuhkan Pas pada 1986 sedang disiasat oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atas dakwaan berlaku penyelewengan pengurusan sejak 2001.

Turut didedahkan adalah beberapa skim pelaburan tidak menguntungkan Kohilal yang dikendalikan oleh sebuah anak syarikatnya yang sudah gulung tikar.

Sementara itu, ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan skandal itu, Md. Shukor berkata:

"Saya tidak boleh cakap apa-apa mengenai itu. Kami ahli lembaga yang baru dilantik dan hanya berusaha memperbaiki apa yang sudah berlaku,"

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kohilal, Ahmad Othman Maseri semasa dihubungi pula berkata, hanya Pengerusinya, Mat Samsudin Abdullah yang layak memberi ulasan.

Mat Samsudin berjaya dihubungi namun selepas wartawan memperkenalkan diri, talian telefon kemudiannya terputus.

Sumber - Utusan Malaysia

2 comments:

  1. pas memang bermasalah tetapi mereka telah ditarbiah supaya menutup mulut. ini semua kerana tidak mahu imej tok guru terjejas.

    kalau dah ahli politik, tok gurupun boleh tersungkur.

    ReplyDelete
  2. Orang melayu sepatutnya sudah tidak lagi dengan mudah terpengaruh dengan individu atau golongan yang kononnya bercirikan agama.

    ReplyDelete

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.