Sunday, February 7, 2010

Cadangan Nik Aziz hanya gula-gula, tutup kemelut pembangkang

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdamai dengan UMNO hanyalah 'gula-gula' untuk terus menuntut royalti minyak bagi negeri Kelantan.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamed Mustapha Ishak berkata, selain itu, tindakannya juga mencerminkan keresahannya untuk menutup kemelut politik dalam pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu, katanya, sebelum ini dengan tegas mahu memperkukuhkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, justeru tidak mungkin sewenang-wenangnya beliau mahu menamatkan perseteruan itu.

''Sukar untuk mentafsir Nik Abdul Aziz, kerana beliau boleh membuat pusingan sehingga 360 darjah untuk membuat sebarang keputusan.

''Sememangnya kita terkejut dengan cadangannya semalam, tidak ada ribut dan angin tiba-tiba ubah pendirian sedangkan selama ini beliau yang menjadi penghalang besar untuk Pas dan UMNO berdamai,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang mencadangkan Pas dan UMNO duduk semeja berbincang dan menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini menolak usaha kerjasama Pas dengan UMNO melalui hujahnya bahawa Pas akan masuk perangkap UMNO dan kerajaan perpaduan hanyalah boneka UMNO, tetapi pendiriannya semalam berubah malah akan berasa gembira jika perbincangan itu menjadi kenyataan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan pemimpin paling popular dalam Pas itu telah menimbulkan kemusykilan banyak pihak.

''Nik Aziz benar-benar memeningkan kepala ramai orang, dia sudah tidak tahu apa dia sendiri cakap, adakah ini strateginya untuk tarik sokongan atau pun sebaliknya, kita belum pasti.

''Pendirian beliau tidak menentu, dulu siap letakkan syarat jika UMNO mahu duduk semeja dengan Pas, tapi semalam tiada sebarang syarat pula, apa sebenarnya beliau mahukan,'' katanya.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang pula mengalu-alukan cadangan baik Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau berharap, kali ini Nik Abdul Aziz benar-benar ikhlas dengan apa yang diperkatakannya itu.

''Kita minta supaya Nik Abdul Aziz tidak mempolitikkan cadangannya itu kali ini kerana jika tidak, beliau akan memburukkan imejnya sendiri sebagai guru agama yang disegani.

''Di pihak UMNO, saya merasakan mereka dari awal telah menunjukkan keikhlasan untuk sentiasa bersedia berunding dengan Pas tetapi kali ini terpulang kepada UMNO untuk mentafsir bahawa ia sebagai satu muslihat atau sebaliknya,'' kata beliau.

3 comments:

  1. nik ajis terima arahan dari abg nuar dia supaya buat isu nak alih sikit tumpuan adengan kes liwat yg tengah panas ni bro

    ReplyDelete
  2. Mujurlah DS Najib 'bahasakan' nik aziz seperti cuaca yg sentiasa berubah. Diaharapkan jangalah pulak ada pemimpin UMNO yg nak jadi hero perpaduan mengeluarkan kenyataan yg mungkin akan bercanggah dgn presiden kita.

    Semua orang inginkan perpaduan melayu islam, tapi kalau UMNO sentiasa diperkotak-katikkan dan diperbudak-budakkan ikut selera mereka, baik kita sengihkan aje mereka ni.

    ReplyDelete
  3. Apa nak buat...dia pun tengah pening sekarang.

    ReplyDelete

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.