Sunday, August 9, 2009

Misi royalti bertukar misi maut
















PETUGAS media terbaring keletihan dan mabuk laut semasa membuat liputan ke pelantar minyak Cakerawala lebih 150 kilometer dari Kota Bharu dengan menaiki bot nelayan kelmarin.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KOTA BHARU – Sekumpulan petugas media yang menyertai ‘Misi Royalti’ anjuran kerajaan Kelantan ke pelantar minyak Cakerawala yang terletak lebih 150 kilometer dari muara Pengkalan Kubor di sini kelmarin bertukar menjadi pengalaman mengerikan apabila terpaksa menyabung nyawa di lautan.

Ini berikutan tindakan pihak penganjur yang cuma menyediakan pengangkutan bot nelayan bagi membawa kira-kira 30 petugas media daripada akhbar Utusan Malaysia, Kosmo!, Sinar Harian, China Press, Nanyang Siang Pau dan sekumpulan blogger ke pelantar itu.

Malah petugas media yang terbabit pada mulanya diberitahu perjalanan hanya mengambil masa selama lapan jam pergi balik tetapi hakikatnya mereka meredah hampir 28 jam perjalanan sebenar.

Lebih mengejutkan, tekong bot tersebut, Ku Ding Tua Hassan, 45, memberitahu, perjalanan sejauh itu adalah pengalaman pertamanya kerana sebelum ini dia hanya menangkap ikan sekitar 60 kilometer dari kawasan daratan.

Keadaan itu menyebabkan semua petugas media terbabit terpaksa ‘bersabung nyawa’ menempuh perjalanan kira-kira 14 jam sehala dengan bot yang hanya berkelajuan 7.2 knot sejam.

Berbeza pula dengan bot yang dinaiki oleh rombongan penganjur yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa serta beberapa pemimpin kerajaan negeri yang menaiki bot KD Amanah 28 milik Maritim Malaysia (APMM).

Bot tersebut bukan sahaja lebih laju dan kukuh tetapi juga jauh lebih selamat berbanding bot nelayan yang tidak mempunyai kelengkapan keselamatan yang cukup.

Husam sebelum bertolak memberi gambaran bahawa pihak media akan diberi peluang menyaksikan rombongan kerajaan negeri melakukan kerja-kerja mengukur dan memastikan pelantar tersebut benar-benar berada di kawasan perairan Kelantan bagi menuntut royalti daripada Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, sebaik pihak media tiba pada pukul 11 malam selepas bertolak pada pukul 10 pagi, tidak ada sebarang aktiviti mengukur di situ, malah rombongan kerajaan negeri sudah bertolak pulang.

Berikutan itu petugas media yang dalam keletihan dan mabuk laut hanya dapat melihat pelantar berkenaan dari jarak kira-kira 500 meter sebelum bertolak balik semula ke Pengkalan Kubor pada pukul 1 pagi esoknya.

Wartawan Utusan Malaysia, Rodelio Junjun Taucan memberitahu, beberapa aspek keselamatan semasa perjalanan itu tidak dipedulikan langsung oleh penganjur.

“Saya antara beberapa peserta yang tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan sedangkan penganjur berjanji APMM akan menyediakannya ketika bot rombongan kami bertemu di suatu lokasi di tengah laut,” ceritanya ketika ditemui.

Tambahnya, perjalanan pulang juga ternyata cukup mengerikan apabila bot mereka dipukul ribut hampir dua jam bermula pukul 2 pagi.

Jurugambar Utusan Malaysia, Hafiz Johari pula berkata, dia masih dalam keadaan trauma akibat pengalaman dipukul ribut.

“Seharusnya keselamatan kami dititikberatkan oleh penganjur, saya menyaksikan sendiri tekong bot beberapa kali cuba menghubungi pasukan APMM untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal,” dakwanya.

sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.