


Menurut Kamariya, dia yang bekerja sebagai pembantu pejabat di pejabat Kedutaan Malaysia di Singapura sanggup berulang-alik ke rumahnya di Desa Pandan, Kampung Pandan di sini sejak enam bulan lalu untuk menguruskan persiapan perkahwinan anak perempuan tunggalnya, Rehan Jaharudin, 29.
"Rehan adalah satu-satunya anak saya dan sudah lebih 50 tahun saya menunggu detik manis untuk menyaksikan majlis perkahwinannya berlangsung dalam suasana meriah.
"Selama lebih 20 tahun saya bekerja keras menyimpan wang untuk perbelanjaan perkahwinannya tetapi alangkah kecewanya apabila ia berlangsung dalam suasana muram disebabkan ramai tetamu tidak dapat hadir kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan dan Kuala Lumpur bertukar wajah menjadi seperti 13 Mei 1969," katanya.
Kamariya ditemui pemberita semasa datang untuk mendapatkan khidmat guaman percuma yang disediakan oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) di Bazar Masjid India di sini, hari ini.
Menurut Kamariya, dia menjemput seramai 3,000 tetamu untuk meraikan majlis perkahwinan Rehan dengan menantunya, Mohd. Dzulfikar Mahtar, 29, pada Sabtu lalu di kediamannya tetapi hanya 1,000 orang yang hadir.